in

Ketahui tanda-tanda ekzos kenderaan anda rosak !

Sistem ekzos kereta mempunyai fungsi mengurangkan kadar pencemaran. Ini bertujuan memastikan jumlah pengeluaran gas mengikut standard ditetapkan sesebuah negara yang mana ia sepatutnya kurang membahayakan manusia dan alam sekitar.

Kebocoran sistem ekzos sangat berbahaya kepada kesihatan pemandu dan penumpang kerana mampu menyelinap masuk ke dalam ruang kabin kereta. Gas ekzos seperti karbon monoksida (CO) adalah tidak berbau dan tidak dapat dilihat mata kasar yang boleh menyebabkan kita terhidu tanpa sedar.

Kandungan CO tinggi boleh menjejaskan kesihatan, malah menjurus kepada kematian.

Bahagian sistem ekzos.

Pengetahuan mengenai kebocoran sistem ekzos adalah sangat penting bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku. Jika anda sedar berlaku kebocoran, segeralah ke bengkel untuk dibaik pulih.

Tanda-tanda ekzos kereta anda perlukan perhatian;

1. BUNYI ENJIN KERETA SEMAKIN KUAT

Ini simptom yang biasa terjadi apabila sistem ekzos bocor. Bunyi enjin tiba-tiba jadi semakin kuat atau bising. Kereta moden hari ini sepatutnya tiada bunyi bising ketara kerana indeks pelepasan bunyi perlu dijaga. Situasi tersebut berlaku sekiranya ekzos tiba-tiba bocor di bahagian paip ekzos atau penyambung.

Jika sudah diperiksa tetapi tiada kebocoran, mungkin bocor di bahagian penyambung. Ini boleh berlaku sekiranya gasket, yang menjadi penebat bahagian penyambung, mengalami kerosakan.

Contoh gasket paip ekzos

Gasket boleh rosak disebabkan perubahan suhu panas dan sejuk. Berdasarkan jangka hayat komponen kereta, gasket mampu bertahan selama 5 tahun atau mungkin hingga 20 tahun. Tiada spesifik tempoh hayat kerana bergantung kepada pengeluar kenderaan.

2. BUNYI LAIN MACAM KETIKA MEMECUT

ferrari-drift

Yang keduanya adalah kebocoran kecil bahagian paip ekzos. Bunyi kereta ketika memecut akan kedengaran berbeza seperti siulan atau angin terkeluar. Bunyi itu pula hanya kedengaran ketika memecut kerana saiz kebocoran paip adalah kecil.

Namun jika dibiarkan, saiz itu akan membesar dan muncullah bunyi ekzos lebih kuat. Mengenai bunyi kuat itu pula, pemandu tiada pengalaman pula boleh perasan perbezaannya. Kata orang, bunyi macam motobot!

Perbezaan bunyi pada awal simptom mungkin sukar dikesan kerana kereta memang mengeluarkan banyak bunyi-bunyian. Berdasarkan bunyi biasa, sekiranya anda terdengar bunyi berbeza, segeralah bawa kereta anda untuk diperiksa di bengkel. Namun tidak semua isu bunyi itu mendatangkan masalah kerana memang sesetengah komponen kereta mengeluarkan bunyi ketika bekerja.

3. RASA GEGARAN PADA PEDAL MINYAK

Gegaran pedal minyak boleh berlaku walaupun ada kebocoran kecil. Jadi kita gabungkan tanda kedua dan ketiga ini, kemungkinan besar berlaku kebocoran. Gegaran itu pula berkadar langsung dengan saiz kebocoran paip ekzos. Semakin besar saiz bocor, maka semakin teruk pedal minyak bergegar.

4. TERHIDU BAU KURANG MENYENANGKAN

Berbeza gas CO yang tiada bau, sebaliknya gas karbon dioksida (CO2) mengeluarkan bau tidak menyenangkan, termasuk juga gas-gas lain yang dilepaskan enjin kereta.

Gas tersebut juga mendatangkan bahaya sekiranya terhidu secara berterusan sepanjang pemanduan. Jika kebocoran berlaku di bahagian manifold, gas-gas yang terlepas itu akan menghasilkan bau yang kuat. Pastikan juga mendengar maklum balas penumpang kerana mereka mungkin terhidu bau kurang menyenangkan.

5. KERETA KUAT MAKAN MINYAK

Proses pembakaran lengkap memerlukan nisbah kandungan bahan api dan udara bersesuaian untuk memberikan tahap  kecekapan bahan api bersesuaian mengikut apa diuarkan pengeluar mengenai sesebuah kenderaan.

Namun, kebocoran sistem paip ekzos menyebabkan enjin sukar beroperasi, sekali gus meningkatkan penggunaan bahan api untuk memberikan tenaga diperlukan kenderaan. Simptom ini mungkin tidak terlalu ketara berbanding simptom lain. Bagaimanapun, jika kebocoran kecil berlaku, simptom kereta kuat makan minyak dapat membantu pemandu mengenal pasti masalah berkenaan.

Kebocoran paip boleh berlaku sepanjang paip ekzos dan penyambung. Jadi sentiasa peka dan ambil peduli sekiranya berlaku sebarang perbezaan pada karakter kereta anda.

Sumber PandaLaju

What do you think?

Masih Ramai Pengguna Salah Faham Mengenai RON95 dan RON97

“Kenapa kereta saya berbunyi kuat bila tekan brek?”